Marsha Jawab Isu Aksi Panas Dalam "Laga"


Walaupun filem "Laga" terbitan Business Leader Film Production (M) Sdn. Bhd dijangka menemui penonton pada tahun depan, namun trailer yang memaparkan adegan ranjang antara pelakon jelita Marsha Milan Londoh dan pelakon veteran Wan Hanafi Su kini isu yang semakin hangat diperkatakan ramai.

Filem yang dibarisi oleh pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Nasir Bilal Khan, Eman Manan, Ruminah Sidek, Syazwan Zulkifli, Zaidi Omar dan Fadilah Mansor ini menimbulkan pelbagai persoalan kepada masyarakat biarpun babak di ranjang dengan Marsha yang hanya berkemban itu diselitkan dalam masa singkat.

Mengulas isu tersebut, Marsha yang membawa watak sebagai suami isteri bersama Wan Hanafi Su mengatakan dia hanya bersikap profesional dan tidak pernah terfikir akan pandangan masyarakat kerana babak tersebut bukanlah seperti yang difikirkan.

Marsha tidak merasa dirinya digunakan sebagai pelaris filem malah pelakon ini berkata dia selesa sewaktu menjalani penggambaran filem yang berkisar mengenai permainan sabung ayam itu. Dia tidak kisah jika penonton menilainya dari sudut negatif namun mahu orang ramai menonton dahulu filem tersebut sebelum membuat sebarang spekulasi.

Dalam pada itu, pengarah filem "Laga" Ismail Yaacob turut berkata, dia yakin bahawa filem arahannya ini akan diterima ramai.
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Post a Comment