RAJA AZMI AKUI BERHIJAB KERANA MAHU BISNES TUDUNG | KUALA LUMPUR: Penerbit filem Raja Azmi menjelaskan salah satu sebab kenapa dia membuat keputusan bertudung adalah kerana mahu mengembangkan perniagaan bisnes berkenaan.
RAJA AZMI AKUI BERHIJAB KERANA MAHU BISNES TUDUNG
Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman 55, berkata, dia tidak dapat menafikan perkara tersebut tetapi niat berkenaan turut datang serentak dengan hasrat untuk berubah.
"Adakah saya berhijab kerana mahu mulakan bisnes rekaan tudung? Ada kebenarannya perkara itu.
"Saya tak berani nak nafikan tentang perkara itu kerana niat bertudung dan mahu menjalani bisnes rekaan tudung datang seiring," katanya kepada mStar Online.
Raja Azmi ditemui pada majlis pelancaran tudung Raja Azmi For Variente Hijab di butik tersebut di Bangsar, di sini pada Rabu.
Sebelum ini Raja Azmi dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan dia berhijab kerana keceluparannya mempersoalkan dakwaan wanita tidak bertudung akan masuk neraka.
Raja Azmi berkata, selepas membuat sembahyang sunat tahajud selama tiga malam, barulah dia mendapat jawapan dan terbuka hati agar bertudung.
Dalam perkembangan berkaitan Raja Azmi memberitahu dia tidak kisah sekiranya ada pihak cuba mempertikaikan niat sebenar dia bertudung kerana dia percaya Allah lebih tahu tentang isi hatinya itu.
Mengenai rekaan tudung terbaharu tersebut, Raja Azmi berkata, dia menjalinkan kerjasama dengan butik Variante dan menghasilkan tujuh jenis selendang inspirasi daripada 'headband'.
"Sebelum bertudung, saya memang suka memakai 'headband'. Jadi saya mengambil inspirasi `headband’ itu ke dalam rekaan selendang.
"Harganya pun tidak berapa mahal iaitu RM70 sehingga RM250," ujarnya.
Tambah Raja Azmi, jika ia mendapat sambutan, dia akan membuat rekaan terbaharu dalam masa terdekat nanti.
Tudung-tudung berkenaan boleh didapati di 11 cawangan butik Variante sekitar Lembah Kelang.
0 comments :
Post a Comment